
Kuching: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diseru agar memberi fokus lebih menyeluruh dan tidak mengabaikan sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak dalam pelaksanaan agenda transformasi digital pendidikan negara.
Senator Larry Asap berkata, perkara itu penting bagi mengurangkan jurang kemudahan digital di antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar.
“KPM harus memberikan pertimbangan pantas dan sewajarnya untuk menyediakan segala bentuk kemudahan peranti digital yang diperlukan di sekolah pedalaman termasuk peranti pembelajaran, capaian internet berkualiti, kesalinghubungan digital serta kemudahan ruang pembelajaran yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian dalam menyambut baik perancangan KPM di dalam melakukan pelbagai usaha mempercepatkan proses pendigitalan bidang pendidikan negara untuk memudahkan proses pengurusan, pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah.
Menurut Larry, pendidikan berasaskan teknologi seperti penggunaan realiti maya (VR), kecerdasan buatan (AI), realiti imbuhan (AR), data raya dan Internet benda (IoT) mampu menarik minat pelajar serta mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Namun begitu, beliau mempersoalkan sejauh mana teknologi pendidikan tersebut benar-benar telah dilaksanakan di sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak.
“Jika dasar dan perancangan yang baik seperti ini gagal untuk dibawa ke kawasan pedalaman, ia bakal memberikan impak kepada proses kemenjadian pelajar di sekolah itu sendiri. Jurang pendidikan pendidikan di antara bandar dan luar bandar akan terus meningkat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa guru dan pelajar di sekolah pedalaman wajar menerima peluang dan kemudahan pendidikan yang sama rata demi memastikan pembangunan sistem pendidikan negara dapat dilaksanakan secara inklusif.
Menurut beliau, keperluan memperkasa pendidikan digital di Sarawak amat mendesak memandangkan masih terdapat ketidakseimbangan pembangunan pendidikan yang ketara antara kawasan bandar dan pedalaman.
“Saya berharap kerajaan melalui KPM dapat memberi perhatian serius kepada keperluan pelajar luar bandar agar mereka mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan pelajar di sekolah bandar dalam era pendidikan digital masa kini,” katanya.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha DAP Sarawak berkata, dalam fasa keempat pendigitalan pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM230 juta bagi penyediaan 31,724 unit peranti digital untuk 1,801 sekolah di seluruh negara bermula 2025 hingga 2030.












