KDN digesa semak Peraturan 39(b), Oscar Ling tegaskan birokrasi tingkatkan kos kerajaan

11
Oscar Ling (tengah) bergambar bersama Davies Julot (dua dari kiri) dan Douglas (kiri) dalam sesi kunjungan hormat yang membincangkan isu pelaksanaan Peraturan 39(b) di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta keperluan semakan semula terhadap birokrasi pengambilan pekerja asing.
Oscar Ling (tengah) bergambar bersama Davies Julot (dua dari kiri) dan Douglas (kiri) dalam sesi kunjungan hormat yang membincangkan isu pelaksanaan Peraturan 39(b) di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta keperluan semakan semula terhadap birokrasi pengambilan pekerja asing.

Sibu: Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew menggesa kerajaan mengkaji semula Peraturan 39(b) di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang menurutnya tidak lagi selaras dengan keperluan semasa.

Beliau berkata peraturan tersebut mengehadkan lokasi kerja yang dibenarkan bagi pekerja asing sehingga menyebabkan mereka boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan dan denda sekiranya bekerja di lokasi yang berbeza daripada yang diluluskan, walaupun masih berada di bawah majikan yang sama.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja menyukarkan majikan, malah turut meningkatkan kos penguatkuasaan yang perlu ditanggung kerajaan, termasuk penyediaan makanan dan tempat tinggal kepada individu yang ditahan sepanjang proses tindakan diambil.

“Sekiranya pelanggaran yang berlaku hanyalah kesalahan kecil, pendekatan yang lebih fleksibel dan pragmatik wajar dipertimbangkan tanpa perlu merumitkan keseluruhan proses,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Imigresen Bahagian Sibu, Davies Julot dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Sibu, Douglas, baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu pelanggaran Peraturan 39(b) yang dikesan dalam operasi penguatkuasaan kebelakangan ini.

Oscar berkata keperluan terhadap pekerja asing kini semakin meningkat selaras dengan perubahan keadaan semasa, justeru proses pengambilan pekerja asing perlu dilaksanakan dengan lebih telus dan dipermudah supaya majikan dapat membuat permohonan dengan lebih cepat dan efisien.

Beliau turut menegaskan bahawa undang-undang yang digubal pada masa lalu perlu disemak dan dikemas kini mengikut keperluan semasa agar tidak menjadi beban kepada majikan serta agensi penguatkuasaan.

Menurut beliau, pendekatan yang lebih pragmatik juga dapat mengurangkan tanggapan bahawa kerajaan terlalu membebankan majikan dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan pekerja asing.

Oscar berkata beliau bercadang membangkitkan isu Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dalam sidang Parlimen akan datang dan memohon agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti semula peruntukan tersebut serta kerenah birokrasi yang timbul daripadanya.