
Sibu: Kerajaan Sarawak digesa untuk mengambil tindakan segera dalam mempercepat dan mempermudahkan proses kelulusan permohonan pekerja asing.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew berkata, ini susulan peningkatan aduan daripada orang ramai yang mendakwa permohonan mereka masih belum diluluskan walaupun telah dikemukakan sejak tahun lalu.
“Antara aduan yang kami terima ialah terdapat pemohon yang telah mengemukakan permohonan untuk menggaji pembantu rumah dari Indonesia sejak tahun lalu, namun sehingga awal Ogos tahun ini masih belum menerima sebarang kelulusan daripada Kerajaan Sarawak.
“Kelewatan pemprosesan oleh jabatan berkaitan berisiko mendorong peningkatan penggunaan pekerja asing tanpa permit,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Imigresen Bahagian Sibu, Davies Julot dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Sibu, Douglas, baru-baru ini.
Oscar berkata, permohonan permit pembantu rumah dari Indonesia sebelum ini boleh dibuat terus di Jabatan Imigresen, namun kini permohonan perlu dikemukakan melalui portal rasmi Kerajaan Sarawak, yang menyebabkan tempoh pemprosesan menjadi lebih Panjang.
Jelasnya, urusan permohonan pekerja asing di Sarawak berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak termasuk pengambilan pembantu rumah asing.
“Bidang kuasa ini mencerminkan autonomi Sarawak. Oleh itu, proses permohonan perlu cepat dan mudah bagi mengelakkan sektor industri dan ekonomi berdepan dengan kekurangan tenaga kerja.
“Kekurangan pekerja bukan sahaja meningkatkan kos operasi, malah boleh menyebabkan kenaikan harga barangan serta kelewatan pengeluaran produk,” katanya.














