
Kuching: DAP Tasik Biru menggesa Kerajaan Sarawak memberikan penjelasan undang-undang yang jelas berhubung status pentadbiran kawasan Singai, sambil menegaskan bahawa sempadan daerah tidak boleh ditentukan melalui jaminan politik atau kenyataan awam.
Timbalan Pengerusi DAP Tasik Biru, Dominic Daon, berkata kenyataan ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, bahawa Singai akan kekal di bawah pentadbiran Daerah Bau dan tidak akan “dipindahkan ke Petra Jaya” tidak menjawab persoalan undang-undang yang timbul daripada The Administrative Areas Order, 2022.
Beliau berkata perintah tersebut merujuk kepada sempadan Daerah Bau dan Daerah Kuching, bukannya Petra Jaya, dan isu sebenar ialah sama ada kawasan Singai yang terjejas masih kekal dalam Daerah Bau dari segi undang-undang.
“Sekiranya pendirian Kerajaan Sarawak ialah kawasan Singai yang terjejas masih kekal dalam Daerah Bau, pendirian itu hendaklah disokong oleh instrumen undang-undang dan rekod rasmi, bukan sekadar jaminan lisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dominic berkata Warta Kerajaan Sarawak yang mengandungi Swk. L.N. 65 telah berkuat kuasa pada 31 Mac 2022 dan membatalkan The Administrative Areas Order, 2016, manakala sempadan pentadbiran ditentukan melalui Land and Survey Miscellaneous Plan No. 1/125.
Menurutnya, walaupun penduduk di kawasan Singai yang terjejas masih berurusan dengan Pejabat Daerah Bau dan menerima perkhidmatan daripada Majlis Daerah Bau, amalan pentadbiran tersebut tidak membuktikan bahawa Perintah 2022 telah dipinda, digantung atau digantikan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, telah menulis kepada Premier Sarawak pada September dan Oktober 2025 bagi mendapatkan penjelasan rasmi, namun sehingga kini masih belum menerima jawapan bertulis.
Sehubungan itu, Dominic menggesa Kerajaan Sarawak mengemukakan Land and Survey Miscellaneous Plan No. 1/125 yang diperakui, mengenal pasti kampung dan lot tanah yang terjejas, serta menjelaskan asas undang-undang bagi aturan pentadbiran semasa.
“Sekiranya GPS benar-benar komited untuk memastikan Singai kekal di bawah Daerah Bau, tidak seharusnya ada sebarang keraguan atau kelewatan untuk mengemukakan dokumen undang-undang yang menyokong pendirian tersebut.
“Sehingga itu, masyarakat Singai berhak menuntut kepastian undang-undang dan bukannya sekadar jaminan politik. Pengundi Tasik Biru mempunyai hak untuk mempertanggungjawabkan Kerajaan Sarawak pimpinan GPS secara politik menjelang pilihan raya negeri akan datang.,” katanya.














