
Lundu: Anak-anak Mas Gading diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika memilih institusi, kursus atau program pengajian susulan pelbagai tawaran pendidikan dan latihan kemahiran yang menjanjikan peluang pekerjaan serta pendapatan lumayan.
Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, berkata golongan muda perlu meneliti setiap tawaran sebelum membuat keputusan, termasuk jumlah keseluruhan yuran, kos tambahan, pengiktirafan program, kandungan kursus serta peluang selepas tamat pengajian.
“Jangan membuat keputusan hanya kerana terpengaruh dengan tawaran yang kelihatan terlalu baik. Semak dahulu,” katanya ketika majlis Insentif Sambung Belajar (ISB) Anak Mas Gading 2026 di sini baru-baru ini.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap insentif itu dapat membantu meringankan sebahagian kos pengajian, lebih-lebih lagi dalam peringkat permulaan pengajian.
ISB Anak Mas Gading yang kini memasuki tahun kelima memperuntukkan RM135,500 dan memanfaatkan 271 penerima pada tahun ini bagi membantu meringankan kos pengajian.
Dalam pada itu, beliau berkata sokongan terhadap pendidikan tidak seharusnya terhenti pada pemberian insentif, sebaliknya perlu disertai akses kepada maklumat dan peluang yang lebih luas bagi membantu golongan muda membuat pilihan berdasarkan pengetahuan yang tepat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut berharap program berkenaan dapat dikembangkan menjadi Karnival Belia Mas Gading yang menghimpunkan institusi pendidikan, agensi kerajaan, pemain industri, usahawan dan komuniti.
Katanya, platform itu boleh menyediakan maklumat berkaitan pendidikan, latihan kemahiran, kerjaya, keusahawanan, teknologi, sukan dan pembangunan diri.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan keperluan membuka lebih banyak ruang kepada anak muda untuk mengenali peluang, membina kemahiran dan mencipta peluang.
Majlis turut disusun tiga pelajar UNIMAS yang menjalani latihan industri di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Mas Gading.










