Siaran Langsungkan Persidangan DUN Sarawak Menerusi TV Sarawak

767

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijangka diadakan pada bulan depan perlu disiarkan secara langsung menerusi siaran TV Sarawak yang baharu dilancarkan.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew yang mencadangkan perkara tersebut berkata inilah masa dan langkah yang tepat buat TV Sarawak untuk menyiarkan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-18 yang dijadualkan pada 9 hingga 18 November.

“Sekarang orang ramai boleh menonton siaran TV Sarawak di saluran Astro 122. Menurut laman web rasmi stesen tv tersebut, siaran programnya bermula pada jam 6 pagi setiap hari, lima hari seminggu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata kerajaan Sarawak harus memastikan bahawa stesen televisyen ini bukan hanya sebagai hiasan semata-mata, tetapi perlu memanfaatkan saluran ini dengan baik untuk memperluaskan maklumat bagi rakyat negeri ini terutama apabila sidang DUN yang akan datang dapat menjadi tumpuan utama.

“Sama ada mereka bekas ahli parlimen dan ahli DUN atau semasa, bahkan rakyat Sarawak sendiri mengharapkan sudang DUN dapat disiarkan secara langsung,” ujarnya.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada awal tahun 2006 pernah mencadangkan agar DUN Sarawak menyiarkan secara langsung proses mesyuarat agar dapat menjadi dewan perundangan pertama di Malaysia mendahului siaran secara langsung aturan mesyuarat.

Malangnya ia masih belum terlaksana walaupun Dewan Parlimen dan juga negeri-negeri lain telah melaksanakan siaran langsung sidang mesyuarat menampakkan Sarawak masih jauh ketinggalan.

Dalam pada itu, Chiew berkata TV Sarawak masih mempunyai beberapa minggu untuk membuat persiapan sebelum sidang DUN diadakan.

Malah beliau percaya TV Sarawak mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan proses siaran langsung persidangan itu. Mesyuarat DUN Sarawak yang diadakan dua kali setahun itu wajar disiarkan secara langsung.

“Bangunan DUN Sarawak tampak megah dan telah menjadi mercun tanda utama di negeri ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, di dewannya, suara rakyat diasingkan oleh lapisan tebal kaca, suara sebenar pemandangan dewan hanya dapat didengar kami bila suara mikrofon dihidupkan oleh Speaker.”

“Oleh itu, kami percaya bahawa sudah tiba masanya DUN Sarawak menyiarkan secara langsung dan secara beransur-ansur menambah baik sebelum reformasi dan kemajuan dapat dicapai. Ini sejajar dengan minat dan harapan orang Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Chiew menekankan bahawa kerajaan Sarawak harus membenarkan DUN Sarawak berubah menjadi Forum Rakyat Sarawak yang benar-benar demokratik dan dinamik.