Rakyat Bimbang Akan Keadaan M’sia Yang Menghadapi Ketidakstabilan Politik Dan Economi Semasa Pandemik COVID-19

414

Press Statement Daripada Tony Chiew:

Ketidakstabilan politik dan ekonomi negara di kala pandemik COVID-19 menimbulkan rasa kebimbangan rakyat sehingga menampakkan ketidakmampuan kerajaan dan kepimpinan menangani situasi semasa.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata sejak berlakunya pertukaran kerajaan pada awal Mac lalu, para pegawai tertinggi dan ahli politik hanya berfokus kepada menangani masalah politik mereka sendiri mengakibatkan kurangya integrasi dalam prestasi kerajaan dan tidak ada arah yang jelas untuk memerintah negara.

Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) masih bertekad menggunakan mekanisma negara untuk menyatukan partinya sendiri, selain pertempuran dalaman yang berterusan dalam PN dan UMNO serta percubaan menjatuhkan kerajaan negeri Sabah dengan rasuah.

“Dasar kerajaan PN berulang kali menimbulkan kekeliruan contohnya penggunaan aplikasi MySejahtera digalakkan oleh kerajaan persekutuan untuk digunakan oleh pemilik premis, tetapi Sarawak pula mempromosikan aplikasinya sendiri yang lebih sesuai untuk Sarawak. Hari ini, kerajaan persekutuan masih mewajibkan peniaga menggunakan MySejahtera.”

“Ini hanya menimbulkan banyak kesulitan. Secara keseluruhan penduduk kita menghadapi ujian yang teruk, kami merasakan bahawa masyarakat hidup dalam suasana tidak yakin dan tidak selamat terutamanya melibatkan ekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Disamping itu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran pada bulan Mei meningkat kepada 5.3 peratus dengan jumlah pengangguran mencapai 826,000 orang.

Selain itu, jumlah pekerja yang bekerja sendiri terus menurun sejak bulan Mac dan jumlah orang yang bekerja sendiri pada bulan Mei juga berkurang kepada 161,000 orang.

“Sehingga 10 Julai, Perkeso telah menerima 59,529 permohonan untuk mendapatkan pelbagai faedah dan elaun daripada penganggur melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), ini merupakan peningkatan yang besar berbanding tempoh sama tahun lalu. Situasi ini jelas menunjukkan masalah pengangguran di negara kita membimbangkan,” katanya.

Chiew berkata duit rakyat mula menyusut dan harga secara beransur-ansur mulai meningkat yang seterusnya mencetuskan inflasi dan menyebabkan penurunan dalam perbelanjaan rakyat.

“Walaupun PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dijangka mengembalikan keadaan itu secara beransur-ansur, pakar ekonomi percaya bahawa kadar pengangguran dalam beberapa bulan depan masih berada pada tahap tinggi, ini kerana beberapa syarikat masih memberhentikan pekerja untuk menguruskan kos operasi.”

“Wabak ini adalah masalah global, seluruh negara di dunia menghadapi cabaran ini. Sekarang kita lihat wabak di negara-negara jiran seperti Filipina dan Indonesia menjadi semakin serius malah kawalan sempadan Sarawak juga telah lama diabaikan menyebabkan kawasan sempadan menghadapi risiko tinggi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Chiew menekankan bahawa kerajaan tidak boleh menganggap bantuan yang diberikan kepada rakyat sebagai ‘ubat mujarab’ untuk menenangkan rakyat. Kerajaan yang berwawasan harus menyiapkan ekonomi untuk tempoh 5 hingga 10 tahun ke depan, jika tidak beban ekonomi negara masa depan akan memberi kesan yang mendalam.

Pada masa yang sama, rakyat ingin melihat kerajaan sekarang mampu menyesuaikan diri dan memiliki keberanian untuk melaksanakannya.