Pos Malaysia Perlu Menyelesaikan Masalah Kelambatan Dalam Penghantaran Bungkusan

769

Statement Daripada Chiew Chin Sing:

Pos Malaysia disarankan untuk mencari jalan penyelesaian efektif secepat mungkin bagi menyelesaikan masalah penghantaran bungkusan kepada penerima, selain menambah tenaga kerja, meningkatkan gaji dan faedah kepada kakitangannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Chiew Chiu Sing berkata pandemik COVID-19 dan juga perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan orang ramai beralih kepada pembelian atas talian lantas peningkatan yang mendadak terhadap permintaan perkhidmatan kurier.

“Mereka (posmen) adalah orang penting dalam perkhidmatan ini yang diperlukan untuk menghantar barang-barang tersebut, melainkan pelanggan memilih untuk pergi sendiri ke pejabat pos untuk mengambilnya.

“Pengguna membayar sejumlah wang pos, jadi mereka semua berharap dapat memperoleh kemudahan dan layanan yang cepat, tidak semua orang dapat pergi ke pejabat pos untuk mengambil bungkusan.

“Baru-baru ini, Pos Malaysia dalam akaun media sosial rasminya memaklumkan bahawa terdapat peningkatan jumlah bungkusan yang mendadak terutamanya ke Sabah dan Sarawak, selain pengurangan penerbangan yang menyebabkan bungkusan masih tersekat di Semenanjung. Oleh itu, penghantaran mungkin memerlukan masa yang lama daripada biasanya untuk tiba,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau menjelaskan dalam hal ini peningkatan jumlah bungkusan dan pengurangan penerbangan ke Sabah dan Sarawak adalah salah satu faktor yang menyebabkan penghantaran lambat kepada penerima.

Katanya, setelah tiba pula syarikat kurier memerlukan tenaga yang mencukupi untuk memproses dan menghantar bungkusan itu bagi membolehkan penerima mendapatkannya dalam masa yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau percaya bahawa Pos Malaysia yang merupakan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia ini mempunyai sejarah yang panjang dan juga merupakan pilihan pertama di kalangan pengguna domestik, seharusnya mempunyai pengalaman dan standard pengurusan yang tinggi.

Menurutnya, keutamaan sekarang adalah mengambil lebih banyak pekerja bagi meningkatkan mutu perkhidmatan terutamanya bagi menyelesaikan masalah penghantaran bungkusan yang tertangguh sekarang.

“Selama bertahun-tahun, Pos Malaysia menghadapi kesulitan dan masalah yang disebabkan oleh tingginya kos penerbangan yang menyebabkan pengembalian bungkusan dan surat setiap hari di antara Semenanjung dan Malaysia Timur yang secara langsung melambatkan perkhidmatan penghantaran.

“Selama dua tahun kebelakangan ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga dengan giat menggerakkan pembaharuan pada Pos Malaysia malah syarikat ini juga dilaporkan memiliki pesawat kargonya sendiri beberapa minggu lepas,” ujar beliau.

Chiew berpendapat selaras dengan perkembangan dan perluasan bidang tugas atau ruang lingkup perkhidmatan yang meningkat saban tahun dan juga ekoran dengan norma baharu semasa wabak COVID-19 ini, proses kemajuan Pos Malaysia perlu dipercepatkan.

Beliau mencadangkan agar syarikat ini membandingkan cara operasi pejabat pos di seluruh dunia sepertinya meneroka pelbagai perkhidmatan.

“Gunakan teknologi sebaik mungkin seperti mengimbas kod bar bungkusan dengan telefon bimbit, kurangkan penggunaan kertas dan cuba mengurangkan kos bahan api dengan bekerjasama dengan pihak ketiga untuk mengurangkan kos pengiriman ekspres.

“Ramai netizen mendedahkan bahawa gaji yang diterima kakitangan Pos Malaysia sangat rendah sehinggakan ada sebilangan mereka yang telah bekerja selama lebih 20 tahun hanya menerima gaji rendah kurang dari RM2,000.

“Adalah perlu bagi syarikat untuk mengkaji dan menaikkan gaji pekerja supaya mereka mampu menampung kenaikan kos sara hidup,” jelasnya.

Beliau menekankan bahawa persekitaran kerja penghantaran tergolong dalam industri berisiko tinggi, oleh itu pengurusan syarikat perlu mengkaji semula gaji dan memberi perhatian kepada kebajikan pekerja demi meningkatkan mutu perkhidmatan Pos Malaysia.

Menurutnya lagi pada masa ini kakitangan penghantaran makanan bermotosikal dan perkhidmatan e-hailing menjadi pilihan bagi mereka yang bekerja sendiri, oleh itu sekiranya kebajikan kakitangan kurier dengan perkhidmatan serupa ditingkatkan, syarikat itu tidak sukar untuk mencari pekerja baharu.