Pengundi Sarawak Harus Menolak GPS Sebagai Tanda Protes Jika PRN Sarawak Diadakan Dalam Suasana Wabak Covid-19

451

Kenyataan Media Daripada Abdul Aziz:

Pengerusi DAP Batu Kitang Abdul Aziz Isa berkata bahawa DAP Batu Kitang berada dalam keadaan siap siaga jika Dewan Undangan Negeri (“DUN”) Sarawak dibubarkan pada tahun ini dan sekaligus membuka jalan untuk diadakan Pilihanraya Negeri (“PRN”) Ke-12.

Baru-baru ini, berita berhubung pembubaran DUN Sarawak menjadi hangat diperkatakan apabila Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (“PBB”) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membayangkan bahawa PRN Sarawak Ke-12 akan diadakan dalam masa terdekat.

Walau bagaimanapun, kenyataan beliau mendapat tentangan dan kritikan yang hebat daripada majoriti rakyat Sarawak. Hal ini kerana majoriti rakyat Sarawak merasakan adalah tidak wajar untuk Abang Johari membubarkan DUN Sarawak dalam masa terdekat disebabkan oleh kadar peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini. Walaupun kerajaan negeri memberi jaminan bahawa kes jangkitan Covid-19 berada dalam keadaan terkawal namun virus tersebut boleh mutasi dan merebak dengan pantas sebagaimana disaksikan pada PRN Sabah Ke-16 baru-baru ini.

Kenyataan demi kenyataan dari pemimpin kanan PBB yang menyokong kenyataan Abang Johari membuktikan bahawa PBB tidak sensitif akan perasaan rakyat Sarawak. Jika benar pemimpin PBB mengutamakan keselamatan dan kebajikan rakyat Sarawak, mereka sepatutnya menangguhkan pembuburan DUN Sarawak dan PRN Sarawak Ke-12 sehingga 7 September 2021. Tidak ada sebab untuk Abang Johari membubarkan DUN Sarawak dalam keadaan negara kini berhadapan dengan wabak Covid-19 memandangkan mandat kerajaan negeri akan berakhir pada 7 September 2021.

Menurut Abdul Aziz Isa lagi, ketaksuban pemimpin PBB untuk mengadakan pilihanraya negeri dalam terdekat membuktikan bahawa PBB hanya mementingkan kelangsungan politik berbanding keselamatan dan kebajikan rakyat. Bahkan, jika PRN Ke-12 Sarawak diadakan pada tahun ini, ianya akan menyukarkan anak muda yang bekerja di luar Sarawak untuk pulang mengundi disebabkan oleh perintah kurantin selama 14 hari yang bakal dikenakan kepada mereka. Semestinya perintah kuarantin 14 hari ini akan membatalkan hasrat mereka untuk pulang mengundi dan seterusnya menafikan hak mereka untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Abdul Aziz Isa menyatakan ini ketika bertemu dengan penduduk Kpg Haji Baki bagi menubuhkan Jawatankusa Indul Jentera Pilihanraya DAP Haji Baki. Ini merupakan kali pertama DAP membentuk jentera pilihanraya di Kpg Haji Baki. Belum pernah mana-mana parti politik sebelum ini membentuk jentera pilihanraya peringkat Kpg Haji Baki dan ini merupakan satu sejarah politik untuk penduduk Kpg Haji Baki.

Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya DAP Haji Baki ini akan dipengerusikan oleh Marzuki Kambrie dan akan dibantu oleh Mohd Ridhuan Hassimi selaku setiausaha. Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya DAP Haji Baki ini akan dibahagikan kepada tiga jawatankuasa kecil yang meliputi Blok A, Blok B dan Blok C. Ahli Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya DAP Haji Baki ini dianggotai oleh penduduk Kpg Haji Baki dari pelbagai latarbelakang. Dijangkakan lebih ramai lagi penduduk Kpg Haji Baki yang akan menganggotai jentera pilihanraya ini.

Kpg Haji Baki mempunyai satu pusat mengundi iaitu SK Haji Baki dan ianya dibahagikan kepada empat saluran. Pada pilihanraya negeri 2016, DAP mendapat 196 undi (19.27%). Manakala pada pilihanraya umum 2018, DAP mendapat 433 undi (32.70%) iaitu peningkatan undi sebanyak 120.92% berbanding pilihanraya negeri 2016. Hal ini bermakna undi DAP beralih sebanyak 13.43% dalam masa dua tahun. Jika momentum ini deteruskan, dijangka peralihan undi kepada DAP akan meningkat sebanyak 26.86% pada pilihanraya negeri akan datang menjadikan jangkaan perolehan undi DAP meningkat kepada 59.56%.

Jika Abang Johari masih bertegas untuk membubarkan DUN Sarawak dan mengadakan PRN Sarawak Ke-12 dalam suasana negara masih berhadapan dengan wabak Covid-19, Abdul Aziz Isa menyeru rakyat Sarawak untuk menolak PBB sebagai tanda protes dan tidak lagi memberikan peluang kepada PBB untuk kembali memonopoli pemerintahan negeri Sarawak.