Para Pengundi Perlu Memanfaatkan Tiket Mereka Untuk Menyelia Ahli Politik Agar Tidak Melompat Parti Sesukahati

387

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Chiew Chin Sing menyokong sepenuhnya penggubalan Akta Anti Lompat Parti bertujuan bagi menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang dipilih dibawah parti politik masing-masing yang berhasrat untuk menukar parti.

Menurut beliau, calon-calon yang menyertai pilihan raya, mereka mewakili polisi dan idea yang dipegang oleh parti politik tertentu maka pengundi menyokong mereka atas pendirian parti berkenaan.

“Isu lompat parti yang berlaku di negara kita dalam enam bulan kebelakangan ini menjadikan rakyat dapat menggunakannya sebagai cara untuk menilai tahap prinsip politik wakil rakyat, terutamanya ketika pilihan raya akan datang dimana pengundi akan menghargai dan memanfaatkan tiket undi di tangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata sekiranya wakil rakyat meninggalkan parti dan kedudukan politik asalnya kerana beberapa sebab setelah memenangi pilihan raya, lebih-lebih lagi mengambil bahagian dalam parti politik lawan, ini akan bertentangan dengan kehendak rakyat untuk memilih.

Beliau mengesyorkan wakil rakyat yang melompat parti harus meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan yang dipilih dibawah panji pihak yang berkenaan.

“Sekiranya anda ingin berpindah ke parti politik lain, anda harus mengembalikan hak memilih kepada rakyat. Wakil rakyat tersebut boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya dibawah parti baru sama ada rakyat masih sokong atau tidak,” ujarnya.

Chiew berkata disebabkan negara kita belum mempunyai Akta Anti Lompat Parti, menyebabkan ahli politik dapat memanipulasi dan menipu terutama wakil rakyat yang melompat sesuka hati dengan serta-merta menjadikan parti yang tidak mendapat sokongan pengundi mendapat majoriti dan membentuk kerajaan pintu belakang manakala kerajaan yang dipilih secara demokratik hilang kuasa.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya merekrut beberapa anggota parlimen dari Pakatan Harapan (PH) agar berjaya membentuk kerajaan pintu belakang. Mereka juga terus memikat ahli parlimen untuk menukar parti dengan ganjaran wang dan jawatan.

“Akibatnya, apa yang kerajaan lakukan bukan untuk rakyat dan telah hilang arah sepenuhnya. Mereka tidak ada tujuan dan komitmen untuk bekerja dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Chiew menekankan bahawa budaya lompat parti menyebabkan kekacauan politik dan ketidakstabilan politik sehingga menyukarkan negara dan rakyat mencapai kemajuan dan ketenangan.

Menurutnya lagi ahli politik sebenarnya tidak boleh menarik wakil rakyat yang dipilih dari parti lain sebaliknya harus menghormati pemilihan rakyat. Kaedah mengambil wakil rakyat dari parti lain disifatkan sebagai tidak bermoral dan sangat hina.

“Manakala wakil rakyat yang rela ditarik juga seakan tidak ada prinsip. Sebagai wakil rakyat dia harus berpegang teguh pada kedudukan asalnya, disiplin diri, integriti, ketekunan, tidak terlibat rasuah dan tidak suka menipu.

“Ini dapat menahan godaan dan mampu berdiri dan berjuang sendiri. Ujian ini sangat penting dan ini membolehkan rakyat melihat keperibadian wakil rakyat mereka,” sarannya.