Klinik Kesihatan Tudan buat kali kedua menerima mask sumbangan Senator Alan

1806

Media Statement Daripada Alan Ling:

Senator Alan Ling semalam buat kali kedua menyumbang 500 penutup mulut dan hidung kepada kakitangan Klinik Kesihatan (KK) Tudan.

Selain itu, beliau turut menyampaikan 12 pek buah kurma kepada pegawai perubatan yang beragama Islam sempena bulan Ramadan.

“Saya berharap sumbangan kali ini dapat memenuhi keperluan penutup mulut dan hidung oleh pegawai perubatan di sini,” katanya pada majlis penyerahan di KK Tudan semalam.

Sumbangan itu disampaikan kepada Pakar Perubatan Keluarga Dr Maurice Steve Utap.

“Saya gembira dapat menyumbang penutup hidung dan mulut serta pelindung muka kepada klinik ini yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan rawatan kepada ribuan penduduk di sekitar Tudan, Senadin dan Permyjaya.

“Walaupun klinik ini tidak merawat pesakit COVID-19, namun setiap hari mereka menerima ramai pesakit dan terdedah kepada jangkitan wabak ini,” kata Ling.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menaik taraf kemudahan dan peralatan di KK Tudan dan Hospital Miri terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah perlindungan tambahan untuk kakitangan.

Katanya, ini termasuk pemasangan pondok sanitasi di semua klinik awam dan hospital bagi menggelakan penyebaran virus walaupun pandemik itu kelak berakhir.

Hadir sama Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (DAP) Long Lama merangkap Pengerusi Panel Penasihat Kesihatan di KK Tudan Marcus Hugo dan pemilik Perdana Trading Company Ngieng Hock Poh.

Ling turut berterima kasih kepada Marcus dan Ngieng yang masing-masing menaja air isotonik dan lebih 50 pelindung muka kepada KK Tudan.

Sementara itu Maurice turut berterima kasih kepada Ling dan Marcus di atas keprihatinan memberi bantuan tersebut.