Kerajaan Sarawak Perlu Menanggung Kos Ujian Bagi Para Guru Dan Murid

453

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Kerajaan digesa untuk menanggung sepenuhnya semua kos ujian pengesanan COVID-19 pada guru, pelajar dan kakitangan sekolah yang terlibat selain memperluaskan lagi sasaran ujian terbabit sebagai langkah tindak balas susulan kes pelajar sekolah menengah di sini yang disahkan positif penyakit terbabit.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata jangkitan wabak tersebut yang melonjak naik sejak akhir-akhir ini di beberapa tempat di negara kita membuatkan orang ramai lebih bimbang dengan penyebarannya.

Menurutnya, terutama bagi kes-kes yang dilaporkan berlaku di sekolah menjadikan guru, ibu bapa dan pelajar merasa bimbang dengan kesihatan mereka.

“Oleh itu, kerajaan mesti mengambil tanggungjawab untuk menyediakan peruntukan bagi menjalankan ujian pengesanan COVID-19 di sekolah terlibat, bayaran RM150 untuk ujian tersebut adalah beban besar bagi banyak keluarga.”

“Atas desakan ibu bapa untuk menghentikan aktiviti persekolahan, akhirnya sekolah akan ditutup selama seminggu. Kerajaan harus bertindak tegas dalam menangani jangkitan terbabit dan bukannya menunggu sehingga masyarakat rasa gelisah baru mengambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew mengulas mengenai satu laporan berita yang menyatakan sekiranya pelajar kelas lain di sekolah yang terbabit dalam ujian pengesanan COVID-19 akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM150. Ini akan menyebabkan pelajar tidak sukarela untuk menjalankan ujian sekaligus menjejaskan langkah pencegahan dan pengesanan wabak.

Chiew mengatakan bahawa keadaan sekarang sudah berbeza apabila pelajar terbabit telah didiagnos, sekiranya tidak ada ujian pengesanan untuk semua guru, pelajar dan kakitangan, sesi persekolahan harus ditangguhkan selama 14 hari.

Malahan 14 hari adalah tempoh inkubasi virus tersebut dan sekolah juga perlu melakukan kerja-kerja sanitasi yang komprehensif.

“Kerajaan perlu cepat menyampaikan maklumat terkini yang relevan melalui pelbagai saluran rasmi, pada masa ini banyak maklumat orang ramai ketahui melalui saluran pihak ketiga. Ini adalah isu utama keutamaan masyarakat dan tanggungjawab kerajaan adalah memastikan wabak dapat dikawal dalam masa tersingkat,” ujarnya.

Disamping itu menurutnya beberapa lokasi di sini telah disenaraikan sebagai kluster baharu yang masih aktif contohnya Kluster Putra.

Katanya, apa yang membimbangkan adalah kluster terbabit terletak di bahagian jalan utama Bintulu. Selepas pengumuman itu, perlu ada langkah pencegahan wabak yang berkesan bagi mengelakkan lebih ramai orang bimbang dan panik serta memutuskan rantaian penularan secara berkesan.

Dalam pada itu, Chiew menegaskan bahawa langkah pencegahan tidak cukup hanya bergantung pada rakyat semata-mata tetapi kerajaan sendiri mesti memberi contoh terbaik dan sikap ‘double standard’ tidak harus berlaku.