Kerajaan PN Perlu Menyalurkan Peruntukan Tambahan Untuk Mencegah Covid-19

332

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Kerajaan diminta untuk menyediakan dan menyalurkan peruntukan tambahan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan segala kelengkapan pencegahan dan rawatan penyakit COVID-19 mencukupi agar penyakit ini dapat ditangani dengan lebih baik.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah tidak memberi keutamaan dalam melabur lebih banyak dana kepada KKM sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.

“Kerajaan Muhyiddin perlu bertanggungjawab atas keadaan dan keadaan kacau bilau dalam negara kini,” katanya ketika mengulas kenyataan KKM untuk mengaktifkan semula akaun khas COVID-19 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan tunai kepada kementerian berkenaan dalam usaha membendung penularan wabak terbabit.

Chiew berkata langkah ini sememangnya mengejutkan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama masyarakat menjadi lebih risau dan secara jelas melihatkan kerajaan yang kurang persiapan dalam hal ini.

“Kami tidak menentang mengaktifkan semula akaun khas ini, namun jika terjadi wabak, kerajaan memerintah hari ini memiliki tanggungjawab yang paling besar untuk memastikan peralatan pencegahan wabak mencukupi dan bukannya hanya menunggu sumbangan,” ujar beliau.

Beliau berkata pengaktifan semula akaun terbabit tidak masuk akal disebabkan oleh peningkatan jumlah kes baharu. Kegagalan kerajaan untuk segera memberikan peruntukan amat mengecewakan, bahkan membuat orang ramai mempersoalkan adakah kerajaan masih berfungsi.

Chiew menambah beliau turut menyokong saranan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy bahawa kerajaan perlu menyalurkan dana kecemasan bagi menangani situasi peningkatan kes COVID-19 yang semakin meruncing di Sabah.

“Kerajaan Muhyiddin merasa bangga dengan pakej bantuan prihatin nasional (BPN) lebih dari RM300 bilion, tetapi gagal menyediakan peralatan perubatan menyelamatkan nyawa mencukupi sehingga perlu menunggu sumbangan orang awam.”

“Kerajaan tidak harus menunggu sumbangan terlebih dahulu, ditambah dengan keadaan penularan wabak yang semakin meruncing sekarang, seharusnya tidak ada penundaan lagi (dalam menyediakan peralatan perubatan mencukupi),” katanya.

Katanya pada masa ini juga telah wujud kluster penjara dan terdapatnya kekurangan pelitup muka diikuti kekurangan wad, tempat untuk rawatan dan peralatan yang tidak mencukupi. Ini adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan dengan sumber yang ada dalam keadaan sebegini.

Disamping itu, Chiew turut menyelar segelintir menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang seakan bersedia untuk mengadakan pilihan raya.

Katanya mereka ini seolah-olah menutup sebelah mata dengan apa yang telah berlaku di Sabah sehingga kes mendadak naik dan jelas mengabaikan keperitan yang terpaksa dihadapi petugas barisan hadapan.

Chiew menekankan bahawa kerajaan Sarawak harus menumpukan perhatian untuk memperketatkan pengurusan pencegahan jangkitan wabak daripada sibuk memikirkan untuk mengadakan pilihan raya kerana ini kelak akan menyebabkan penularan wabak menjadi tidak terkawal.

Walaupun banyak orang menentang untuk mengadakan pilihan raya di Sarawak dalam masa terdekat namun kerajaan Sarawak seakan meremehkan kehendak rakyat dan tetap dengan tegas untuk mengadakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

“Situasi wabak di negara kita sekarang cenderung ke arah peningkatan yang mendadak tetapi Menteri Kesihatan dan termasuk dua Timbalan Menterinya seperti hilang, salah seorangnya adalah dari Sarawak.”

“Dia harus mengetahui bahawa sangat bahaya untuk mengadakan pilihan raya sekarang dan dia harus menasihatkan Ketua Menteri Sarawak agar pilihan raya dapat dibuat pada masa yang sesuai seperti yang disarankan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” gesa beliau.