Kerajaan Digesa Agar Menyalurkan Bantuan Kepada Sektor Yang Diarahkan Tutup Operasi

509

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Kerajaan Sarawak digesa untuk menyalurkan bantuan kepada sektor yang diarahkan tutup operasi disebabkan peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew mengatakan gesaan tersebut susulan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang secara tiba-tiba pada Rabu lalu mengumumkan bahawa pusat hiburan di seluruh Sarawak diarahkan tutup serta merta sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Sektor perniagaan telah menghadapi tekanan ekonomi yang teruk sepanjang wabak ini dan sekarang perniagaan di kawasan Zon Hijau juga diarahkan untuk tutup. Bagi ramai pemilik perniagaan, pendekatan kerajaan ini terlalu keras.”

“Menghentikan perniagaan bukan sahaja menyebabkan mereka tiada pendapatan, tetapi mereka juga menghadapi beban kewangan termasuk pinjaman, sewa dan gaji pekerja. Kesukaran yang begitu berat ini menjadikan mereka terhimpit dan sukar untuk meneruskan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata sektor perniagaan telah ditutup selama hampir lima bulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Walaupun mereka memulakan perniagaan sejak Ogos lalu, namun ramai dari mereka bergantung kepada simpanan dahulu untuk meneruskan perniagaan.

“Kerajaan Sarawak harus berunding dengan pihak industri sepanjang tempoh ini, memberikan pilihan dan langkah-langkah penyelesaiam serta membantu perniagaan yang tidak bersedia menghadapi kesulitan, bukannya mengumumkan penutupan perniagaan dan membiarkan mereka terkapai-kapai sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak,” ujarnya.

Selain itu, Chiew mengatakan bahawa selain penangguhan perniagaan, beliau percaya bahawa kerajaan juga bertanggungjawab untuk memberikan bantuan yang sesuai untuk setiap keputusan yang dibuat bagi memastikan majikan dibantu dan pekerja tidak terpaksa kehilangan pekerjaan.

Mengikut laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), hampir 90,000 orang menganggur di Malaysia sejak Mei sepanjang tempoh wabak ini, peningkatan 278 peratus berbanding tahun lalu.

Chiew berkata data yang ditunjukkan ini benar-benar membimbangkan dan kesan pengangguran ini juga akan merebak hingga ke Sarawak.

Chiew mengulangi bahawa kerajaan Sarawak harus berhati-hati dan bertanggungjawab atas pelaksanaan semua dasar ketika wabak sedang berlaku.

Menurutnya ini bagi memastikan bahawa setiap pelaksanaan dasar memiliki perancangan yang baik dan bukannya kerana kelalaian kerajaan sendiri, rakyat harus menanggung kesannya.