Kementerian Pendidikan Sarawak Diminta Mengambil Tidakan Menangani Masalah Peratusan Kehadiran Yang Rendah

403

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

DAP Bintulu mempersoalkan kerajaan Sarawak dan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak mengenai langkah tindakan susulan berkenaan dengan pembukaan sekolah memandangkan situasi pandemik COVID-19 di sini semakin teruk sehingga menyebabkan panik dan peratusan hadir ke sekolah secara bersemuka sangat rendah.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata dalam tempoh seminggu lalu, banyak ibu bapa menggunakan pelbagai saluran untuk menyatakan kebimbangan mereka mengenai pembukaan sesi persekolahan namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seolah-olah tidak mengendahkannya dan tetap berkeras membuka sekolah rendah dan menengah pada masa yang sama.

“Walaupun baharu seminggu pertama sesi persekolahan bersemuka dimulai, sudah terdapat kakitangan dan pelajar sekolah yang dijangkiti virus tersebut, namun pihak berkuasa menganggap ianya tidak serius dan tidak memutuskan untuk menukar kepada pengajaran dalam talian.”

“Selain itu, jumlah kes positif yang telah disahkan dalam sekolah dan keadaan sebenar jangkitan ini juga seperti tidak telus kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata bukan ibu bapa tidak mahu bekerjasama dengan KPM untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk belajar, malah ibu bapa juga bimbang anak-anak mereka tidak dapat menjalankan kerja rumah mereka dengan betul kerana tidak dapat kembali ke sekolah.

Namun menurutnya masalah sekarang ialah para ibu bapa merasa takut setiap hari untuk memperjudikan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka sekiranya dihantar ke sekolah dengan keadaan jangkitan yang masih menular.

“Apa yang membuat orang marah apabila KPM tidak mempunyai alasan yang cukup untuk memulakan kelas bersemula, tetapi mereka mengarah semua yang terlibat mematuhi arahan.

“Kementerian menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dengan mencabar para guru, pelajar dan ibu bapa. Selain itu, vaksin diberikan akan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menunjukkan keberkesaan, mengapa pihak berkuasa memperlakukan semua kakitangan dengan cara yang begitu teruk?,” ujarnya.

Selain itu, Chiew berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) menubuhkan Kementerian Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak pada tahun 2018 namun ketika pandemik ini semakin teruk dan sekolah-sekolah di negeri ini meneruskan sesi persekolahan bersemuka, kementerian ini masih berdiam diri seolah-olah tidak wujud.

“Di situasi yang kritikal ini rakyat Sarawak mengharapkan kementerian tersebut berfungsi untuk meluahkan suara rakyat kepada persekutuan tetapi jabatan tersebut langsung tidak berfungsi.”

“Oleh kerana kerajaan negeri mempunyai kementerian pendidikan sendiri, mereka tidak harus melupakan tanggungjawab terhadap isu ini, Kementerian ini ditubuhkan untuk menguruskan hal ehwal pendidikan di Sarawak sebagai perkara terpenting tetapi sekarang mengapa kementerian tersebut tidak bersama membantu dalam hal ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Kementerian Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak perlu mempunyai pendirian yang jelas dan membuat keputusan yang masuk akal dan tidak mengabaikan tuntutan guru, pelajar dan ibu bapa.