Kadar Harga Rumah Kian Naik Merupakan Kegagalan Kerajaan Dalam Dasar Perumahan

462

Walaupun negara ini kaya dengan sumber gas asli dan minyak, namun kadar harga rumah semasa di negara ini yang semakin mahal dari tahun ke tahun terus membelenggu penduduknya.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata kegagalan dasar perumahan selama beberapa dekad telah menimbulkan kekecewaan besar pada rakyat sehinggakan mereka merasakan tidak menikmati faedah yang berpatutan akibat daripada isu ini.

“Pada masa ini, orang merasa sakit hati apabila berbicara mengenai harga rumah lebih-lebih lagi apabila gaji yang diterima dan harga rumah sama sekali tidak konsisten.”

“Walaupun rakyat mampu membeli rumah namun mereka masih dibelenggu dengan kadar pinjaman yang tinggi dan ini ialah kenyataan yang terpaksa dihadapi oleh semua peringkat umur,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata selama beberapa dekad kerajaan dilihat berulang kali meningkatkan jumlah pinjaman berbanding daripada berusaha menurunkan harga perumahan.

Katanya, langkah kerajaan ini hanya akan meningkatkan tekanan kepada rakyat dan kerana ini banyak anak muda berusia 35 tahun ke atas masih belum yakin bahawa mereka dapat berkahwin dengan tenang.

Dalam pada itu beliau mengambil contoh harga perumahan di Bintulu kini yang amat mengejutkan dimana harga bagi rumah teres lot tepi lebih daripada RM600,000, malah beliau mempersoalkan berapa ramaikah orang muda yang mampu memiliki rumah dengan harga sebegitu.

“Selama beberapa dekad, masalah harga perumahan yang tinggi menjadi masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan dan bahkan ianya menyebabkan masalah tekanan semakin meningkat dalam kalangan anak muda,” ujarnya.

Selain itu, beliau memetik data sebelum ini yang mengatakan kos pembinaan perumahan di Malaysia menyumbang sekitar 55 peratus dari harga perumahan dan bahan hanya mencakupi setengah dari pembiayaan tersebut manakala 45 peratus yang lain adalah harga tanah dan bayaran lain-lain yang menjadikan harga rumah menjadi mahal.

“Ironinya Sarawak terdapat begitu banyak tanah, mengapa kerajaan berulang kali membiarkan harga tanah dinaikkan atau mereka turut serta di dalam perancangan ini?,” katanya.

Beliau menekankan bahawa apa yang rakyat perlukan bukanlah semata-mata upacara pecah tanah kerajaan untuk perumahan mampu milik setiap kali pilihan raya menjelang.

Menurut beliau perancangan sebegitu tidak dibuat dibanyak tempat malah rancangan jangka pendek seperti ini tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat sebaliknya akan meningkatkan jurang antara yang kaya dan yang miskin seterusnya membawa kesan negatif kepada ekonomi masyarakat.

“Kerajaan harus berusaha menyediakan dasar perumahan jangka panjang dan berkesan, bekerjasama secara aktif dengan lebih banyak pemaju hartanah dan menghidupkan kembali pasaran perumahan dengan cara yang sihat.”

“Apa yang ingin dilihat oleh rakyat ialah rancangan perumahan jangka panjang 10 tahun atau bahkan 20 tahun dapat dipromosikan dan dilaksanakan sebagai dasar,” dikatakan beliau.