Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Diminta Untuk Memanjangkan Waktu Operasi hospital Dan Klinik Bagi Memudahkan Urusan Pengendalian Pesakit COVID-19

595

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata baru-baru ini beliau menerima laporan dari orang ramai mengenai waktu operasi ujian COVID-19 di hospital dan klinik di sini, yang memerlukan waktu lebih fleksibel bagi memudahkan orang ramai.

Menurut kefahaman beliau, tugas ujian swab terbahagi kepada dua shif iaitu pagi dan petang dimana masa tidak ditetapkan iaitu apabila kakitangan perubatan menyelesaikan kerja-kerja tersebut dalam waktu operasi, semasa orang ramai membaris menunggu giliran, orang ramai yang datang selepas itu terpaksa menjalankan ujian swab pada hari keesokkannya.

“Dengan situasi jangkitan COVID-19 yang berlangsung selama lebih dari satu tahun, pengesanan yang dijalankan harus lebih mudah dan cepat sehingga orang yang diuji dapat mengetahui hasil laporan dalam waktu singkat dan memungkinkan pihak berwajib untuk mengesan sumber jangkitan lebih cepat.”

“Selain itu, pihak berkuasa juga harus memastikan persekitaran tempat pengujian disediakan kemudahan mengimbas suhu dan kod MySejahtera, tempat pemeriksaan yang lebih luas dan selamat, selain menyediakan khemah yang cukup dan memastikan orang ramai menjaga jarak yang selamat ketika menunggu.”

“Pada masa ini, banyak orang menghadapi situasi dimana mereka pergi ke hospital atau klinik untuk menjalani ujian swab selepas habis bekerja, namun apabila sampai di hospital atau klinik, pusat ujian itu telah selesai melakukan tugas mereka, perkara ini menyebabkan banyak kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Oleh itu, Chiew berharap Menteri Kesihatan segera meningkatkan petugas kesihatan di Sarawak bagi memastikan situasi di negeri ini tidak terjejas oleh masalah kekurangan tenaga kerja.

Terutama seperti dikatakan oleh Menteri Kesihatan apabila Sarawak ketika ini kekurangan 1,436 kakitangan perubatan, ditambah pula dengan jumlah disahkan positif harian yang tinggi di negeri ini dan Kementerian Kesihatan bercadang menambah 430 kakitangan yang dianggap sangat tidak signifikan.

“Negara kita telah berperang dengan COVID-19 selama lebih dari satu tahun namun Sarawak kini berada pada kemuncak jumlah jangkitan dengan jumlah staf tambahan dari Kementerian Kesihatan tidak sampai setengah (718 orang), bagaimana rakyat Sarawak tidak merasa marah dengan perkara ini?,” ujarnya.

Chiew menekankan bahawa kerajaan baru-baru ini terus menggalakkan orang ramai menjalankan ujian swab termasuk kontak rapat atau tidak secara langsung.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan dapat memberi swab percuma kepada rakyat dan membatalkan bayaran RM150 dengan segera.

Tambah beliau dalam lebih dari satu tahun memerangi pandemik ini, ramai orang telah cukup merasa ‘miskin’.

“Orang yang pergi ke hospital atau klinik untuk menjalani ujian ini kerana mereka diwajibkan melakukannya.”

“Sekiranya mereka diminta membayar RM150 setiap orang kerana mereka adalah kumpulan yang bukan kontak rapat atau yang tidak dijangkiti, itu sangat tidak baik kepada mereka kerana ada dari mereka tidak mampu,” tegasnya.