HENTIKAN OPERASI MENEMBAK ANJING DI DALAM KAWASAN HALAMAN RUMAH

784

Kenyataan Media oleh Abdul Aziz Isa:

Bersama dengan aktivis pencinta haiwan intuk membuat laporan polis ke atas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berhubung dengan piawaian kaedah pencegahan, insiden pencerobohan ke atas harta benda peribadi (anjing) dan penembakan anjing peliharaan yang sudah diberi suntikan vaksin lebih awal.

Wabak rabies di Sarawak ini mula dikesan pada Julai 2017. Malangnya, sehingga kini, wabak rabies ini telah merebak ke 61 kawasan dan telah meragut seramai 15 nyawa. Jika pihak kerajaan bertindak secara proaktif, maka tidak perlu pihak JPBN mengisytiharkan wabak rabies ini sebagai Bencana Tahap Kedua. Adakah keadaan ini boleh dikatakan berada ditahap yang “memuaskan”? Orang awam tertanya-tanya sejauh manakah keberkesanan kerajaan negeri dalam membanteras wabak rabies ini.

Anjing peliharaan yang berada di dalam kawasan halaman rumah sepatutnya tidak boleh ditembak kerana ianya dikira menceroboh “harta peribadi” (“private property”) pemilik rumah. Jika perkara ini berlarutan, ianya akan menimbulkan persepsi negatif orang awam dan mengakibatkan panik yang boleh membawa kepada “kecederaan psikiatrik” (“psychiatric injury”). Kita enggan melihat pemilik anjing mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan kerana ianya akan merencatkan Operasi Anti-Rabies.

Pihak kerajaan tempatan terutamanya MPP juga harus mengambil berat akan isu ini. Jika anjing peliharaan tersebut mempunyai simptom rabies, seharusnya pihak berkuasa mengeluarkan permit atau notis kebenaran untuk memasuki kawasan halaman rumah bagi tujuan vaksinasi. Bukannya dengan melakukannya tanpa permit atau notis. Kerana operasi pencegahan di dalam kawasan halaman rumah tanpa permit atau notis boleh dikatakan sebagai menceroboh (“trespassing”).

Pihak JPBN selaku badan kerajaan juga harus mengambilkira kepentingan awam dengan menilai semula piawai prosedur (“standard of procedure”) mereka. Hal ini sangat penting supaya tidak timbul persepsi negatif dari orang awam. Apabila ianya melibatkan badan kerajaan, maka, ianya melibatkan “dasar awam” (“public policy”) yang merupakan salah satu fungsi utama pihak kerajaan negeri selaku badan eksekutif dalam melaksanakan Operasi Anti-Rabies ini.

Saya tidak mempersoalkan usaha yang dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinari (“Department of Veterinary Services”) yang bertungkus-lumus siang dan malam melakukan program vaksinasi. Saya juga tidak mempertikaikan usaha Jabatan Penyakit Berjangkit (“Department of Infectious Disease”) dalam usaha memvaksikan mangsa gigitan anjing rabies. Usaha yang bagus akan kita sokong demi kepentingan orang awam.

Namun, berhubung dengan usaha kerajaan negeri membanteras wabak rabies ini, ianya harus dilakukan tanpa menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang awam. Bak kata pepatah Melayu, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk membuka 15 buah Klinik Gigitan Anjing di negeri Sarawak pada awal bulan Jun tahun ini (2019). KKM mengumumkan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan sebanyak RM2 juta untuk vaksinasi di negeri Sarawak. Terbaru, kerajaan pusat telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM9.3 juta untuk Operasi Anti-Rabies yang sedang berlangsung di Sarawak.

Justeru, saya berharap pihak JPBN menilai semula modus operandi Operasi Anti-Rabies ini dengan mengambilkira pandangan badan bukan kerajaan dan orang awam supaya tidak timbul persepsi negatif di masa akan datang.

Abdul Aziz Isa

Pembantu Khas YB Chong Chieng Jen

Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak