GPS Tak Pernah Mengambil Serius Demi Kedudukan Dan Hak Sabah Dan Sarawak

531

Statement Daripada Chiew Chin Sing:

Kenyataan pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyatakan pemilihan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak menjadi Perdana Menteri (PM) sebagai satu permainan politik bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan mereka tidak pernah mengambil serius kedudukan dan hak Sabah dan Sarawak malah terus menjadi hamba kepada kerajaan bermodelkan Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Chiew Chiu Sing berkata ini jelas membuktikan bahawa GPS tidak memiliki keikhlasan untuk mempertahankan hak rakyat Sarawak yang menjadi sebab mereka menolak Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama Semenanjung Malaysia sebelum ini.

“Kedudukan mereka (GPS) hari ini adalah menyokong kerajaan gabungan UMNO dan PAS, tetapi mereka tidak dapat menyokong apabila wakil rakyat dari Malaysia Timur dipilih menjadi calon Perdana Menteri.”

“Pemikiran yang ketinggalan zaman seperti itu sebenarnya tidak akan memberikan manfaat yang besar bagi Sarawak dan tidak meningkatkan status dan corak Malaysia Timur,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew percaya bahawa rakyat akan sekali lagi melihat kumpulan yang disebut sebagai pembela autonomi ini menunjukkan wajah sebenar yang memandang rendah kebolehan wakil rakyat dari kedua-dua negeri ini.

Beliau berkata pemimpin GPS seakan-akan lebih rela menjadi kawan kepada BN dan PAS daripada menyokong Sabah dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang setaraf.

“Adalah sesuatu yang baik bagi wakil rakyat dari Malaysia Timur dipilih menjadi calon PM, tetapi sekarang sebaliknya ada sebilangan kecil wakil rakyat yang memerintah Sarawak terlebih dahulu menafikan dan mengerdilkan diri mereka disebabkan telah dipimpin oleh UMNO dari masa lalu hingga sekarang,” ujarnya.

Chiew berpendapat kemampuan wakil rakyat Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan dan beliau sangat kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing baru-baru ini bahawa pemilihan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal sebagai permainan politik dan seolah-olah menolak cadangan tersebut.

Selain itu, Chiew turut memetik kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada tahun 2018 di sebuah portal berita yang mendakwa GPS akan kembali semula ke BN bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Ini menurutnya secara tidak langsung menyebabkan segala hak dan autonomi Sarawak yang dipertahankan sebelum ini akan beransur-ansur hilang.