GPS Perlu Bertanggungjawab Atas Keputusan Menyokong PN Yang Sering Bertelagah

366

Kenyataan Media Daripada Tony Chiew:

Pemimpin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sering bertelagah sehingga menimbulkan kekacauan politik di negara ini akan mendatangkan kesan buruk buat negeri Sarawak.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bertanggungjawab atas keputusannya untuk menyokong PN memerintah kerajaan.

“Kerajaan PN yang disokong oleh GPS kini mengalami perselisihan dalaman yang serius dan tidak ada cara yang menampakkan kerajaan persekutuan akan stabil.”

“Saya ingin bertanya kepada GPS, dimanakah kerajaan persekutuan yang stabil yang mereka sokong pada Februari lalu?”

“Sejak penubuhan PN selama kurang dari satu tahun, GPS menjadi pengikut PN dan tidak berani menolak pemikiran dan idea politik ekstrem PAS yang membahayakan prinsip sekular Sarawak dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew berkata rakyat kini sudah mengetahui bahawa tindakan menyokong dan menjadi anggota PN adalah satu keputusan yang salah kerana akhirnya menyebabkan kekacauan pada negara hari ini.

“Kekacauan hari ini di negara kita telah menyebabkan seluruh negara menjadi mundur dan GPS seharusnya tidak lagi menipu rakyat Sarawak.

“Sejak awal lagi orang telah melihat bahawa larangan minuman beralkohol, ucapan krismas pada kek perlu disembunyikan, lukisan dan pelekat dinding Mao Zedong di restoran, termasuk bajet 2021 yang menjadikan pendidikan aliran cina menjadi mangsa, semuanya menunjukkan kepada tujuan untuk tidak bersatu,” ujarnya.

Selain itu, beliau mengatakan bahawa kerajaan PN hari ini menunjukkan prestasi yang buruk apabila daripada mengutamakan kepentingan rakyat, mereka lebih mementingkan kewibawaan pegawai tinggi kerajaan.

Jelas beliau khususnya apabila berlaku kejadian menteri yang mendapat perhatian pihak berkuasa sehingga badan kerajaan perlu meminta maaf dan membaikinya ketika menteri tersebut cedera setelah menunggang basikal melalui jalan berlubang.

Sebaliknya apabila orang awam mengalami kemalangan dan bahkan kematian kerana infrastruktur dan kemudahan yang tidak mencukupi, mereka terpaksa menanggung akibat dari kegagalan jangka panjang kerajaan.

Disamping itu, jumlah kes jangkitan wabak COVID-19 di negara ini yang mencatatkan peningkatan selama berbulan-bulan menjadikan ia mungkin tidak dapat dikawal pada bila-bila masa.

Malah kerajaan Sarawak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak yang ‘double standard’, ini adalah disebabkan oleh prestasi yang buruk dari PN dan GPS.

Chiew mengulangi bahawa kelalaian dan ketidakcekapan kerajaan Sarawak mesti dikutuk dengan teruk oleh pengundi Sarawak.