Gegaran akibat aktiviti letupan batu menyebabkan keretakkan bangunan SK Landeh – Abdul Aziz Isa

1076

Kenyataan Media Daripada Abdul Aziz Isa:

Pengerusi DAP Batu Kitang Abdul Aziz Isa mengadakan lawatan untuk bertemu dengan pihak pengurusan sekolah bagi mendengar aduan berkenaan dengan masalah gegaran dan letupan yang sering berlaku di kawasan tidak jauh dari SK Landeh, DUN Batu Kitang.

Abdul Aziz Isa dimaklumkan oleh pihak pengurusan sekolah bahawa terdapat sebuah syarikat yang sedang menjalankan aktiviti perlombongan batu di salah sebuah bukit yang terletak tidak jauh dari kawasan SK Landeh. Gegaran yang terhasil daripada aktiviti letupan tersebut boleh dirasai hampir setiap pagi oleh murid-murid dan guru-guru. Setakat ini, pihak pengurusan sekolah masih belum mendapat sebarang maklumat berkenaan dengan syarikat tersebut.

Akibat daripada gegaran yang terhasil daripada letupan tersebut, ianya telah menyebabkan keretakkan kepada struktur bangunan sekolah. Hal ini bukan sahaja menimbulkan kerisauan ibubapa malah membahayakan nyawa murid-murid dan guru-guru kerana ianya menyebabkan bangunan sekolah tersebut tidak selamat untuk diduduki. Ianya juga menjadi salah satu faktor yang mampu menjejaskan proses pembelajaran.

Tidak ada sebab mengapa struktur bangunan sekolah ini mempunyai banyak keretakkan sedangkan ianya merupakan sekolah yang baru dibina dan hanya mula beroperasi pada tahun 2017. Menurut Abdul Aziz Isa, hipotesisnya mudah iaitu jika keretakkan struktur bangunan ini disebabkan oleh kualiti pembinaan, maka kecuaiannya mungkin terletak pada kontraktor yang menguruskan projek pembinaan tersebut. Namun, jika keretakkan ini bukan disebabkan oleh kualiti pembinaan, maka ianya berkemungkinan besar disebabkan oleh gegaran yang terhasil daripada aktiviti letupan yang dilakukan oleh syarikat yang melombong bukit tersebut.

Justeru, Abdul Aziz Isa telah menasihatkan kepada pihak pengurusan SK Landeh untuk menulis surat rasmi kepada Jabatan Alam Sekitar (“JAS”) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (“NREB”) untuk mengajukan masalah ini. Satu siasatan dan laporan yang lengkap dan menyeluruh haruslah dilaksanakan secepat mungkin. Jika keretakkan struktur bangunan sekolah ini disebabkan oleh gegaran yang terhasil daripada aktiviti letupan tersebut, maka pihak JAS dan NREB haruslah mengambil tindakan sewajarnya. Pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Stampin dan DAP Cawangan Batu Kitang akan memantau isu ini dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu juga, Abdul Aziz Isa dan Tadika Kastil telah menyumbangkan sebanyak 500 keping pelitup muka. Sumbangan pelitup muka tersebut telah disampaikan oleh Guru Besar Tadika Kastil Kong Ee Xuan kepada Guru Besar SK Landeh Nur Sarah Sandra Stephens. Turut hadir sama adalah wakil Persatuan Ibubapa dan Guru (“PIBG”) SK Landeh.

Pada 13 Februari 2020 yang lalu, Abdul Aziz Isa telah menyumbangkan sebanyak 906 keping pelitup muka kepada 419 murid-murid dan 34 anggota kakitangan pejabat sebagai langkah untuk menangani penularan wabak Covid-19. Selain itu juga, Abdul Aziz Isa telah mengedarkan risalah kesedaran wabak Covid-19 yang dicetak oleh pihak Jabatan Penerangan Negara (“JAPEN”).

Abdul Aziz Isa memberi jaminan bahawa pihaknya melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Stampin akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada pihak SK Landeh dalam usaha membangunkan infrastruktur sekolah, memperkasakan sistem pendidikan dan meningkatkan bantuan kebajikan kepada murid-murid.

23-09-2020
Abdul Aziz Isa
Pembantu Khas YB Chong Chieng Jen
Pengerusi DAP Batu Kitang