
Kuching: Belanjawan Sarawak 2027 yang diunjurkan berjumlah RM15 bilion menimbulkan persoalan mengenai unjuran hasil dan keutamaan perbelanjaan, dengan ADUN Padungan merangkap Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, memberi amaran bahawa defisit belanjawan berturut-turut menunjukkan perlunya disiplin fiskal yang lebih ketat.
Chong berkata, gambaran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai “Belanjawan Optimistik” perlu disokong oleh unjuran hasil yang realistik dan perbelanjaan yang bertanggungjawab bagi mengelakkan kesilapan pengurusan belanjawan berulang.
Merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 mengenai Sarawak, halaman 36, Chong berkata Belanjawan 2025 pada asalnya mengunjurkan lebihan RM500 juta, dengan hasil sebanyak RM14.2 bilion dan perbelanjaan RM13.7 bilion.
“Bagaimanapun, hasil sebenar hanya mencapai RM12.5 bilion, manakala perbelanjaan meningkat kepada RM15.1 bilion, sekali gus mengakibatkan defisit sebanyak RM2.6 bilion.
“Bagi tahun 2026, unjuran hasil awal sebanyak RM13 bilion disemak kepada RM13.5 bilion susulan peningkatan geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM900 juta secara tidak dijangka,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Chong berkata, tanpa tambahan geran tersebut, hasil kerajaan negeri dijangka kurang RM400 juta daripada sasaran asal.
“Pada masa sama, perbelanjaan yang disemak meningkat daripada RM12.9 bilion kepada RM14.3 bilion, menyebabkan defisit dianggarkan RM800 juta walaupun menerima tambahan peruntukan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa hasil negeri masih di bawah jangkaan walaupun harga minyak mentah antarabangsa mencatatkan purata sekitar AS$90 setong susulan perang Iran, yang menurutnya sepatutnya meningkatkan kutipan cukai jualan berkaitan petroleum serta royalti minyak dan gas.
Chong menggesa kerajaan negeri menilai semula projek mega berkos tinggi dan mencadangkan empat langkah untuk mengawal perbelanjaan, iaitu menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sedia ada sebagai alternatif kepada cadangan pembinaan lapangan terbang baharu bernilai RM10 bilion; menghentikan pembangunan lanjut Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) berasaskan Transit Aliran Autonomi (ART) serta menggunakan semula infrastruktur sedia ada bagi mengurangkan kesesakan; memperluas kemudahan Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu sebagai alternatif kepada pembinaan pelabuhan laut dalam baharu untuk eksport LNG; dan menghentikan penggunaan jet peribadi bagi perjalanan ke luar negara.
Beliau mempersoalkan ketepatan unjuran Belanjawan 2027 berjumlah RM15 bilion dan menggesa kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemah serta memastikan komitmen kewangan selaras dengan keupayaan hasil sebenar negeri.














