Chiew: Kerajaan Sepatutnya Menolong Industri Menyelesaikan Masalah Yang Dihadapi, Bukannya Menegur Peniaga Untuk Keluar Dari Industri

367

Kerajaan perlu memikirkan jalan penyelesaian dengan segera bagi memulihkan semula industri pelancongan pasca COVID-19 di samping membina semula keyakinan pelancong terhadap produk pelancongan yang ditawarkan di Sarawak.

Setiausaha Publisiti DAP Bintulu Chiew Chan Yew berkata seorang menteri yang memegang portfolio Kementerian Pelancongan seharusnya ambil maklum segala permasalahan yang dimaklumkan oleh peniaga industri tempatan bukannya terus menegur mereka untuk tinggalkan industri ini sekiranya tidak berpuas hati dengan bantuan kerajaan.

“Sebagai seorang menteri, dia bertanggungjawab untuk membantu industri pelancongan dengan menyelesaikan dilema yang dihadapi peniaga-peniaga industri, dengan menyelesaikan masalah yang dihadapi pastinya akan membantu membaik pulih industri pelancongan Sarawak. “

“Sekiranya masalah yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan tidak dapat diselesaikan, industri pelancongan di negeri ini tidak akan dapat bergerak maju. “

“Bagi saya adalah sangat tidak wajar bagi seorang menteri mengatakan peniaga industri boleh meninggalkan industri ini sekiranya tidak berpuas hati dengan bantuan kerajaan sebab kita tidak tahu apa masalah yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha ini kesan daripada penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Chiew membidas kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di sebuah portal berita baru-baru ini mengatakan mereka yang tidak berpuas hati dengan bantuan kerajaan harus meninggalkan industri pelancongan.

Sementara itu, Chiew mencadangkan kerajaan negeri mentransformasikan industri pelancongan terutamanya memperkuatkan industri pelancongan digital dengan secara aktif menarik pelancong di pelbagai perisian aplikasi dan memberi promosi yang menarik kepada pelancong, ini sekaligus dapat menggalakkan pelancong berbelanja di negeri ini dengan lebih banyak.

“Kami tahu Menteri Pelancongan berniat untuk mengembangkan industri pelancongan seperti meningkatkan penerbangan dari Singapura dan Brunei, bagaimanapun sebelum Datuk Abdul Karim mengambil alih jawatan menteri dari Abang Johari yang berkhidmat lebih dari 10 tahun, sayangnya industri pelancongan di negeri ini tidak pernah hangat dan tiada peningkatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chiew menekankan bahawa kerajaan harus mengkaji secara serius dan mengetahui masalah akar umbi pelancongan di negeri ini selama beberapa dekad.

Menurutnya, apa yang penting adalah menghimpunkan semua pemain industri pelancongan di negeri ini bagi membincangkan dasar pelancongan yang lebih baik.

“Dasar pelancongan harus terbuka untuk membolehkan pengusaha pelancongan terlibat dalam pembuatan dasar bagi membawa industri pelancongan Sarawak ke perspektif yang lebih luas.

“Mereka (pemain industri) mempunyai pengalaman dan pendapat praktikal mengenai cara mengembangkan potensi industri pelancongan Sarawak.

“Setelah Pan Borneo siap, banyak peluang peniagaan dalam industri ini akan dibuka, tetapi peluang tidak akan jatuh dari langit, ianya bergantung kepada perancangan dan usaha pemain industri dan kerajaan untuk meneroka potensi dan peluangnya di negeri ini,” katanya.