
Kuching: Sebagai respons terhadap kenyataan ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap, berhubung Program Bas Sekolah Percuma, jelas bahawa beliau gagal menjawab kebimbangan terbesar rakyat: aspek keselamatan bas-bas sekolah yang terlibat. Sebaliknya, beliau cuba mengalihkan perhatian kepada isu bidang kuasa dan pihak berkuasa pelesenan, sekali gus mengalih fokus daripada isu sebenar.
Tiada seorang pun daripada kami, termasuk masyarakat umum, yang pernah menyalahkan pemandu atau pengusaha bas sekolah.
Para pemandu hanya menjalankan tugas mereka, manakala pengusaha bas sekolah telah lama berdepan dengan cabaran kos operasi, perbelanjaan penyelenggaraan, serta beban kewangan untuk menggantikan kenderaan yang semakin uzur. Sebab itulah kami telah menggesa Kerajaan Sarawak supaya memandang serius perkara ini dan meneroka kaedah untuk membantu pengusaha bas meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperbaharui armada mereka, bukannya meletakkan segala tanggungjawab ke atas mereka apabila masalah didedahkan.
Sekiranya timbul kebimbangan pada hari ini mengenai bas yang terlalu lama digunakan, isu pelesenan atau risiko keselamatan, orang ramai berhak untuk mempersoalkan pihak yang merancang dan mempromosikan program tersebut. Tanggungjawab tidak seharusnya dipindahkan kepada pengusaha bas yang sekadar menjalankan tugas mereka.
Memandangkan Program Bas Sekolah Percuma telah dipromosikan secara aktif oleh See Chee How dan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa yang berkaitan sepatutnya telah menjalankan pemeriksaan asas dari segi keselamatan dan pematuhan sebelum program itu dilaksanakan.
Adakah mereka telah mengesahkan usia kenderaan yang terlibat?
Adakah mereka telah memastikan bahawa para pemandu memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah?
Adakah mereka telah memastikan bahawa bas-bas tersebut memperoleh permit yang diperlukan serta mematuhi semua peraturan yang berkaitan?
Ini merupakan syarat-syarat asas yang perlu disahkan sebelum program dilaksanakan, malah sebelum ia dilancarkan oleh Premier Sarawak. Perkara-perkara ini sepatutnya disemak dan disahkan oleh pihak yang melancarkan program tersebut, bukannya dipindahkan tanggungjawabnya kepada pemandu, pengusaha atau agensi penguat kuasa.
Mereka yang mempromosikan dan melaksanakan program ini mesti bertanggungjawab. Mereka mempunyai kewajipan untuk memastikan program tersebut mematuhi piawaian keselamatan asas dan keperluan undang-undang sebelum diperkenalkan kepada orang ramai.
DAP tidak pernah menentang Program Bas Sekolah Percuma. Sebaliknya, kami menyokong sebarang inisiatif yang dapat mengurangkan beban ibu bapa serta memudahkan pelajar untuk hadir ke sekolah.
Namun, jika Kerajaan Sarawak sanggup memperuntukkan dana awam untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma, maka kerajaan juga mesti memastikan para pelajar menerima perkhidmatan yang selamat, mematuhi peraturan serta memenuhi piawaian yang ditetapkan. Tanggungjawab kerajaan tidak berakhir dengan menyediakan perkhidmatan percuma semata-mata. Kerajaan juga mesti menjamin kualiti perkhidmatan dan keselamatan pelajar.
Cabaran yang dihadapi oleh pengusaha bas sekolah untuk menggantikan armada yang semakin uzur bukanlah perkara baharu. Sebab itulah kerajaan perlu secara proaktif meneroka skim bantuan yang bersesuaian.
Jika kerajaan mampu membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menyewa pesawat persendirian bagi urusan rasmi, maka kerajaan juga mampu memperuntukkan sebahagian kecil daripada sumber tersebut untuk membantu pengusaha yang menyertai Program Bas Sekolah Percuma membeli bas yang lebih baharu dan lebih selamat.
Daripada menghabiskan masa berdebat mengenai tanggungjawab selepas isu ini didedahkan, kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian kepada penyelesaian yang praktikal bagi membantu pengusaha menaik taraf armada mereka dan memastikan pengangkutan yang lebih selamat untuk para pelajar.
Pemimpin GPS sering bercakap tentang mengutamakan rakyat Sarawak. Namun apabila keselamatan pelajar dan penggantian bas sekolah dibandingkan dengan keselesaan serta kemudahan pemimpin politik, kita tidak melihat tahap keutamaan yang sama diberikan.
Sekiranya kerajaan benar-benar mengambil berat tentang kebajikan pelajar, kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian geran, pembiayaan berkadar faedah rendah atau program bantuan khusus bagi membantu pengusaha menggantikan bas yang terlalu lama digunakan secara berperingkat, bukannya membiarkan mereka menanggung beban kewangan tersebut bersendirian.
Pada ketika ini, isu utama bukan lagi mengenai agensi mana yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen. Persoalan sebenar ialah mengapa masalah ini masih belum diselesaikan walaupun telah didedahkan kepada umum.
Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong, telah mendedahkan bahawa lima buah bas yang menyertai program tersebut berusia lebih daripada 30 tahun. Apa yang ingin diketahui oleh ibu bapa dan orang ramai adalah mudah: Adakah bas-bas ini masih digunakan untuk mengangkut pelajar pada hari ini?
Jika bas-bas tersebut masih beroperasi, maka para pelajar masih terdedah kepada risiko yang berpotensi menjejaskan keselamatan mereka.
Sekiranya bas-bas tersebut telah ditarik keluar daripada perkhidmatan, Kerajaan Sarawak dan See Chee How perlu menjelaskan kepada umum bilakah bas-bas itu dihentikan operasinya, kenderaan apa yang telah digunakan sebagai pengganti, dan apakah langkah-langkah yang akan dilaksanakan bagi memastikan situasi yang sama tidak berulang.
Apa yang saya kecewakan ialah respons Wilfred Yap terlalu tertumpu kepada isu pihak berkuasa pelesenan dan tanggungjawab penguatkuasaan, tetapi gagal menjawab persoalan yang paling penting, iaitu sama ada bas-bas bermasalah yang dikenal pasti sebelum ini masih beroperasi atau tidak.
Ibu bapa tidak berminat dengan perdebatan birokrasi mengenai bidang kuasa atau tanggungjawab.
Satu-satunya perkara yang menjadi kebimbangan ibu bapa ialah sama ada bas sekolah yang membawa anak-anak mereka benar-benar selamat.
Keselamatan kanak-kanak tidak sepatutnya dijadikan alat politik, dan tidak boleh dijadikan alasan untuk mana-mana pihak mengelak daripada memikul tanggungjawab selepas sesuatu masalah didedahkan.
Kerajaan Sarawak dan See Chee How perlu memberikan penjelasan yang jelas kepada orang ramai serta mengambil tindakan konkrit untuk menyelesaikan isu ini, bukannya terus mengelak daripada menangani isu keselamatan bas sekolah yang menjadi kebimbangan utama ibu bapa.
Kami dengan ikhlas menyokong Program Bas Sekolah Percuma. Namun begitu, keselamatan pelajar tidak boleh sama sekali dikompromikan.
Daripada terus mempertahankan kelemahan program ini, Kerajaan Sarawak perlu segera meneroka langkah-langkah untuk membantu pengusaha bas memperbaharui armada mereka supaya ibu bapa dapat berasa lebih tenang dan pelajar dapat melakukan perjalanan ke sekolah dengan selamat.
Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
Sim Kiat Leng
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, YB Chong Chieng Jen
18 Jun 2026














