Alasan GPS Untuk Menerima Pelawaan Daripada PM baru Tidak Munasabah.

524

Statmen Daripada Oscar Ling:

Oscar Ling menempelak Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerima pelawaan untuk bersama-sama membentuk kabinet persekutuan baharu yang akan dipanggil kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN) + GPS.

Alasan yang digunakan oleh GPS untuk menerima pelawaan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah demi kestabilan negara tanpa meminggirkan kepentingan Sarawak.

Ini merupakan satu alasan yang tidak munasabah jika memberikan alasan kepentingan Sarawak kerana semasa Kerajaan Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan juga diteruskan usaha untuk mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Hal ini dapat dibuktikan melalui usaha Kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu, telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu mengenai Perjanjian Malaysia 1963. Mesyuarat telah dipengerusikan Perdana Menteri dan dihadiri 23 ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Kerajaan Pakatan Harapan juga bertindak bersetuju untuk meminda Perlembagan Persekutuan kembali kepada Perlembagaan Persekutuan sebelum 1976. Ini telah digagalkan sendiri oleh GPS dan dibantu oleh PAS dan BN. Tidak boleh dijadikan alasan kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang dituduh tidak menjaga hak dan kepentingan Sarawak.

Malahan Kerajaan Pakatan Harapan juga bersetuju untuk meningkatkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak setelah tidak disemak sejak 1969.

Saya juga menempelak GPS yang bersetuju untuk menyertai Kabinet Persekutuan yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini akan mengembalikan nostalgia era Barisan Nasional yang telah memerintah Sarawak. Gabungan Barisan Nasional telah ditolak di Sarawak kerana isu rasuah yang membabitkan Bekas Perdana Menteri , Datuk Seri Mohd Najib . Gabungan Perikatan Nasional+GPS akan mengembalikan Sarawak ke-era Barisan Nasional yang mempunyai rekod rasuah dalam sejarah Malaysia.