
Kuching: Belanjawan 2027 mencerminkan kepentingan pelaburan dalam pendidikan menerusi peningkatan peruntukan untuk sekolah rendah Cina, bantuan persekolahan yang lebih tinggi serta elaun tahunan bersejarah bagi pelajar Tingkatan Enam, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Yii berkata peningkatan peruntukan tersebut membuktikan bagaimana pengurusan ekonomi yang baik dan perbelanjaan awam yang bertanggungjawab mampu memberikan manfaat nyata kepada pelajar dan keluarga tanpa mengira kaum atau agama.
“Peruntukan untuk sekolah rendah Cina meningkat dua kali ganda daripada RM50 juta dalam Belanjawan 2025 kepada RM100 juta dalam Belanjawan 2027 bagi menyokong penambahbaikan infrastruktur dan penyelenggaraan sekolah.
“Sementara itu, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, sekali gus memberikan kelegaan tambahan kepada ibu bapa yang berdepan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Beliau menambah bahawa antara inisiatif utama Belanjawan 2027 ialah pengenalan elaun tahunan sebanyak RM2,500 bagi setiap pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bersama bantuan persekolahan sebanyak RM200, pelajar yang layak akan menerima bantuan berjumlah RM2,700 setahun.
Yii menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah bersejarah yang bukan sahaja mengurangkan beban kewangan pelajar, malah mengiktiraf STPM sebagai laluan penting ke pendidikan tinggi.
Beliau turut menekankan pembaharuan dalam akses pendidikan, termasuk tawaran automatik ke program matrikulasi kepada kesemua 6,717 pemohon yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas bagi sesi 2026/2027, serta pengaturan penempatan universiti bagi pelajar aliran sains STPM yang mencapai PNGK sempurna 4.0.
Walaupun mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, Yii berkata Belanjawan 2027 menunjukkan bagaimana pelaburan dalam pendidikan mampu membantu pelajar, memperluas peluang dan mengurangkan beban kewangan keluarga.
Beliau menegaskan bahawa tadbir urus yang bertanggungjawab perlu menghasilkan manfaat yang bermakna, bukan sahaja di bilik darjah, tetapi juga dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.














