
Sibu: Kerajaan Sarawak perlu mengambil iktibar daripada isu MyEG baru-baru ini dan mengkaji semula keseluruhan model penglibatan sektor swasta dalam pengambilan serta pengurusan pekerja asing, khususnya melalui Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA), kata Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew.
Ling berkata isu yang melibatkan MyEG menunjukkan risiko yang boleh timbul apabila perkhidmatan kerajaan, kutipan bayaran dan proses pentadbiran diserahkan kepada syarikat swasta tanpa pengawasan kawal selia, perlindungan kewangan serta mekanisme yang mencukupi untuk membolehkan kerajaan campur tangan apabila berlaku masalah.
“Kerajaan boleh memanfaatkan teknologi dan kepakaran syarikat swasta, tetapi apabila sesuatu perkhidmatan disumberluarkan, risiko yang berkaitan dengan perkhidmatan awam tidak boleh turut disumberluarkan,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini berkata MyEG dan Zetrix AI, yang bertindak sebagai ejen kutipan hasil kerajaan bagi JPJ, gagal menyerahkan RM314 juta yang dikutip bagi pihak kerajaan antara 19 Mei hingga 30 September tahun ini. Susulan 35 peringatan dan beberapa siri komunikasi, perkhidmatan JPJ berkaitan kemudiannya digantung mulai 5 Oktober.
Ling berkata kebimbangan yang sama perlu diteliti dalam pelaksanaan FWTA, yang merangkumi pengambilan pekerja asing, kelulusan, permit kerja, Visa Dengan Rujukan (VDR), pemeriksaan kesihatan serta pengurusan status bukan Sarawak.
Beliau berkata SANSOLS pula diposisikan sebagai platform berpusat bagi pengurusan dan pengeluaran permit, visa serta lesen berkaitan, menjadikannya lebih daripada sekadar platform elektronik komersial biasa.
“Ia melibatkan kuasa pentadbiran kerajaan, maklumat pekerja asing dan majikan, selain kutipan sejumlah wang yang besar,” katanya.
Ling berkata Kerajaan Sarawak perlu menjelaskan sama ada mekanisme pengambilalihan dan keluar yang menyeluruh telah disediakan sekiranya penyedia perkhidmatan swasta menghadapi masalah kewangan, teknikal atau kontrak.
Di bawah model kerjasama awam-swasta (PPP) yang sebelum ini dijelaskan dalam Dewan Undangan Negeri, setiap pekerja asing dikenakan bayaran RM1,854 bagi operasi sistem, penyelenggaraan, naik taraf dan infrastruktur berkaitan, manakala kerajaan negeri tidak menerima hasil daripada bayaran tersebut.
Beliau berkata kerajaan sewajarnya mengkaji bukan sahaja struktur fi, tetapi keseluruhan model FWTA, termasuk tempoh kontrak, perlindungan kewangan, mekanisme audit, perlindungan data serta kesinambungan perkhidmatan.
“Jika struktur fi itu sendiri sudah memerlukan semakan, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kerajaan mengkaji keseluruhan model FWTA, bukan sekadar melaraskan jumlah yang dikenakan,” katanya.
Ling menegaskan bahawa kajian semula FWTA tidak bermaksud menolak pendigitalan atau kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta, sebaliknya memastikan tanggungjawab muktamad terhadap perkhidmatan awam, kuasa pentadbiran, dana awam dan data sensitif kekal di bawah kerajaan.
“Pengajaran terbesar daripada isu MyEG ialah kerajaan boleh menyumberluarkan perkhidmatan, tetapi tidak boleh menyumberluarkan tanggungjawab.
“Oleh kerana FWTA juga merupakan platform penting yang melibatkan kutipan bayaran dan perkhidmatan pentadbiran, Kerajaan Sarawak perlu mengambil iktibar daripada insiden ini,” katanya.












