Masalah parkir Swinburne: DAPSY gesa tindakan segera

10
Arlena Wee Shi Ying menggesa Universiti Teknologi Swinburne Sarawak mempertimbangkan pengecualian bayaran parkir pelajar susulan kebimbangan mengenai kemudahan parkir yang tidak mencukupi dan keselamatan di kampus.
Arlena Wee Shi Ying menggesa Universiti Teknologi Swinburne Sarawak mempertimbangkan pengecualian bayaran parkir pelajar susulan kebimbangan mengenai kemudahan parkir yang tidak mencukupi dan keselamatan di kampus.

Kuching: Pengarah Hal Ehwal Universiti DAPSY Sarawak, Arlena Wee Shi Ying, menggesa Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dan pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah segera bagi menangani isu parkir serta keselamatan yang dihadapi para pelajar.

Wee berkata Swinburne sepatutnya telah meneroka penyelesaian alternatif terhadap masalah parkir berkenaan sebelum pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

“Walaupun saya memahami bahawa Swinburne tidak dapat membina tempat letak kereta bertingkat dalam tempoh yang singkat, persoalannya ialah bagaimana pihak universiti mahu mengurangkan kesulitan yang sedang dihadapi para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Swinburne telah mengemukakan sistem Transit Aliran Automatik (ART) sebagai salah satu penyelesaian berpotensi, namun mempersoalkan berapa lama pelajar perlu menunggu dan apakah langkah yang akan diambil sementara menunggu penyelesaian tersebut dilaksanakan.

Wee mencadangkan agar Swinburne mempertimbangkan untuk mengecualikan bayaran parkir bagi pelajar sekiranya universiti tidak mampu menyediakan kemudahan parkir yang mencukupi dan selamat.

Katanya, pelajar kini dikenakan bayaran RM1.06 sejam, dengan had RM6.36 sehari, manakala perbelanjaan parkir bulanan boleh mencecah kira-kira RM180. Pas bulanan pula berharga RM63.60, berbanding kadar RM42.40 yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“Walaupun ada yang berpendapat bayaran ini tidak terlalu tinggi, mewajibkan pelajar membayar untuk kemudahan parkir yang tidak mencukupi, sedangkan keselamatan mereka masih terjejas, tidak selari dengan matlamat dan janji Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau turut menggesa Datuk Bandar Dato Wee Hong Seng, sebagai wakil MBKS, membawa perkara tersebut kepada PayNGo dan meneroka penyelesaian yang bersesuaian.

Mengenai aspek keselamatan, Wee menggesa Swinburne meningkatkan rondaan keselamatan di luar waktu puncak, memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan selekoh terlindung dan sekitar kampus, serta mewujudkan sistem aduan dan tindakan susulan yang berkesan bagi menangani kemalangan dan pertikaian.

Katanya, liputan CCTV yang lebih menyeluruh dapat membantu siasatan terhadap kemalangan dan kes langgar lari, khususnya apabila pelajar terpaksa menanggung kos berkaitan akibat kekurangan bukti untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Wee turut menggesa Kerajaan Sarawak, Timbalan Premier Datuk Amar Sim Kui Hian dan Datuk Bandar Wee mengambil tindakan terhadap isu berkenaan.

“Pelajar berhak mendapat lebih daripada sekadar janji mengenai penyelesaian pada masa hadapan. Mereka berhak mendapat komunikasi yang telus, langkah sementara yang praktikal dan tindakan yang bermakna,” katanya.